Dr Hayati Ismail, Astro Awani | Disember 31, 2018 08:13 MYT
PENERANGAN yang diberikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin mengenai pentaksiran murid Tahap 1 yang lebih berteraskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bermula tahun 2019 sedikit sebanyak memberi pemahaman kepada ibu bapa dan masyarakat umum mengenai pemansuhan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi tahap tersebut.
Sebelum ini ramai yang tertanya-tanya bagaimana murid Tahap 1 akan ditaksir sekiranya tiada lagi peperiksaan untuk Tahap 1, dan adakah guru-guru bersedia untuk ‘format baharu’ pentaksiran yang akan dijalankan tahun hadapan.
PBD adalah salah satu daripada empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), di mana tiga lagi adalah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Sebenarnya PBS ini bukanlah amalan baharu dalam sistem pendidikan negara kerana telah diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi bagi mentaksir murid secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pemansuhan peperiksaan Tahap 1 sepatutnya dibuat lebih awal supaya guru dapat lebih memberi tumpuan mengajar dari aspek membina kemahiran karektor dan sahsiah serta membebaskan murid daripada tekanan belajar untuk peperiksaan.
Pada 27 November 2017 saya pernah menulis mengenai pentingnya pentaksiran holistik dalam menerapkan nilai yang menjadi teras kepada pembangunan insan yang sejahtera, yang dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara, selaras aspirasi FPK.
Tahun 2017, Kementerian mengorak langkah untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya membangunkan insan yang seimbang ini apabila keputusan UPSR tidak diumumkan sebagaimana yang diamalkan dahulu dengan mencanang peratus kelulusan murid dalam peperiksaan. Sebagai gantinya, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 diumumkan, dengan guru-guru menyerahkan laporan lengkap ke empat-empat komponen PBS kepada murid dan waris yang hadir ke sekolah.
Selepas itu Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa kali ini tidak ada lagi pengumuman tentang Gred Purata Sekolah (GPS) atau perbandingan pencapaian mengikut negeri atau daerah, tetapi mahukan pelaporan yang lebih seimbang merangkumi semua komponen PBS dan memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran murid dan keupayaan mereka dalam memberikan respon kepada soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Ini adalah satu lagi milestone dalam proses transformasi pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ke arah merealisasikan aspirasi negara untuk membangunkan insan yang seimbang ilmu dan akhlaknya.
Selaras dengan amalan terbaik pendidikan di negara-negara maju, sudah tibalah masanya untuk kita memberikan fokus kepada pembentukan nilai dan sahsiah terutama dalam kalangan anak-anak kecil yang masih di peringkat rebung lagi.
Di negara-negara tersebut, murid dididik untuk mengutamakan kebersihan, disiplin dan kesopanan. Fokus juga diberi kepada kemahiran komunikasi dan penerapan nilai melalui pelbagai aktiviti secara didik hibur, seperti aktiviti lakonan, tarian, pembentangan dan projek kecil secara berkumpulan.
Sejak mula memperkenalkan PBS pada 2011, Lembaga Peperiksaan Malaysia telahpun menggariskan pelbagai format pentaksiran berterusan untuk PBD, termasuklah bercerita, soalan jawab secara lisan, nyanyian, deklamasi sajak, lakonan serta pelbagai aktiviti menyeronokkan sehingga murid tidak sedar bahawa mereka sedang ditaksir.
Aktiviti ini boleh direkodkan secara bergambar dan dikompilasi dalam satu buku skrap untuk menunjukkan learning journey atau proses pembelajaran murid tersebut.
Isu bilangan murid yang ramai dalam sesebuah kelas tidak timbul, kerana pihak sekolah boleh menggunakan kreativiti masing-masing untuk memberi intervensi khusus, sesuai dengan situasi di sekolah masing-masing.
Mereka boleh menggunakan sepenuhnya sumber yang ada dan kepakaran serta sumbangan tenaga ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Sewajarnya kita sekarang kembali memberi penekanan kepada keseimbangan yang dinyatakan dalam FPK – pendekatan holistik dengan memberi fokus kepada pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani. Enam Aspirasi Murid dalam PPPM 2013-2025 serta Aspirasi Pelajar dalam PPPM Pendidikan Tinggi 2015-2025 juga memberi fokus kepada keseimbangan ilmu dan akhlak.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, memang jelas, aspek nilai dalam Elemen Merentas Kurikulum dinyatakan secara eksplisit dalam Rancangan Pengajaran Harian dan sepatutnya diterapkan dalam setiap aktiviti di dalam dan luar kelas.
Sebagaimana yang sering diperkatakan oleh Menteri Pendidikan – sistem pendidikan kita perlu menerapkan kasih sayang, hormat menghormati dan kegembiraan. Love, mutual respect and happiness. Ini adalah antara nilai teras yang perlu diterapkan kembali dalam sistem pendidikan kita.
Kita mahukan semua institusi pendidikan, tidak kira dari prasekolah ke institusi latihan hinggalah ke universiti ,mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat, gembira dan penuh suasana kekeluargaan berteraskan kasih sayang.
Laksanakan sahaja apa yang telah dinyatakan dengan jelas dalam Falsafah Pendidikan yang telah dirangka pada 1988 – setelah 30 tahun, marilah kita kembali semula kepada pernyataan ini, demi membentuk negara maju berteraskan acuan kita sendiri.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2019
_____________________________________________________________________________________
* Dr Hayati Ismail merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Comments
Post a Comment