Masalah Ibubapa-Pihak Sekolah Boleh Cari Jalan Penyelesaian


28 JAN: Ibu bapa dan pihak sekolah perlu mencari pendekatan bijaksana dalam menyelesaikan masalah berbangkit tanpa perlu saling menyaman.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menjadi orang tengah dalam mewujudkan keharmonian serta permuafakatan demi memastikan hasrat kemenjadian pelajar dicapai.


Katanya, keharmonian sistem pendidikan di sekolah harus diperkukuhkan bagi memastikan perkembangan pelajar berlaku tanpa unsur negatif.


“Tak perlu sampai buat laporan polis atau saman menyaman. Memang ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang terhadap guru memang ada tapi tidaklah ramai.


“Saya harap ada kebijaksanaan antara pihak sekolah dan ibu bapa, ada permuafakatan, PIBG boleh jadi perantara,” katanya selepas merasmikan Karnival Muafakat Komuniti dan Pemimpin Bersama Rakyat Felda Lubuk Merbau di Dewan Orang Ramai Felda berkenaan di Padang Terap, Kedah hari ini.


Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mendedahkan ada ibu bapa membuat laporan polis dan menggunakan peguam terhadap guru di seluruh negara hampir setiap minggu.


Kebanyakan kes membabitkan isu kecil seperti tindakan tidak keterlaluan oleh guru untuk mendisiplinkan anak mereka.


Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pihak sekolah sentiasa memberi kerjasama kepada polis untuk membantu siasatan sekiranya ada laporan berkaitan daripada ibu bapa.


“Kementerian tidak akan melindungi salah laku oleh guru, namun dalam beberapa isu ia boleh diselesaikan secara pemuafakatan atas semangat menjaga keharmonian sistem pendidikan,” katanya.

Comments